fbpx

Bagaimana prosedur untuk hibah rumah atau tanah pusaka?

Masalah pewarisan harta pusaka bukan lagi perkara yang asing yang boleh mencetuskan perbalahan serta pertelingkahan dalam keluarga. Bagi mengelakkan rumah atau tanah pusaka jatuh boleh menyebabkan pertelingkahan yang lebih besar, proses hibah perlu dilakukan oleh setiap pemilik rumah atau tanah pusaka supaya waris yang sepatutnya mendapat hak yang sepatutnya.

Sumber imej: Pixabay

Dalam artikel ini, kami akan huraikan secara teliti tentang panduan bagaimana prosedur bagi hibah rumah atau tanah pusaka boleh dilakukan. Namun, sebelum kita pergi lebih lanjut tentang bagaimana prosedur hibah dilakukan, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diketahui mengenai isu hibah ini.

Definisi hibah

Menurut rujukan daripada Jabatan Guaman Negara, hibah boleh didefinisikan sebagai memberi sesuatu kepada orang lain secara sukarela tanpa melibatkan sebarang pertukaran dan pemberian milik itu dilakukan semasa pemberi itu masih hidup. Walaubagaimanapun, sekiranya anda masih lagi ingin memiliki harta yang dihibahkan selagi masih hidup, syarat ini perlu dinyatakan secara jelas sewaktu melakukan hibah dan dipersetujui oleh penerima hibah.

Apa yang menarik tentang hibah ini, si pemberi bebas untuk menghibahkan harta miliknya kepada sesiapa sahaja yang beliau ingini sama ada waris atau bukan waris. Selain itu, harta hibah tidak akan dikategorikan sebagai harta pusaka.

Kebiasaannya, bagi tanah atau rumah yang masih dalam pinjaman bank, anda akan dilindungi takaful dan juga MRTT. Pastikan anda membuat semakan dengan pihak bank bagi mengetahui status harta sama ada dilindungi atau tidak.

Jenis-jenis hibah

Secara umumnya, terdapat tiga jenis hibah di Malaysia iaitu:

  1. Hibah secara terus (mutlak)

Menerusi hibah ini, harta ini akan menjadi milik sepenuhnya dan berkuat kuasa serta merta. Bagi menyempurnakan proses ini, proses pemindahan hak milik akan dilakukan. Seandainya penerima hibah meninggal dunia, status harta ini akan diagihkan secara faraid kepada waris penerima hibah ini.

  1. Hibah bersyarat (‘umra dan ruqba)

Bagi hibah bersyarat, pemberi hibah menetapkan syarat sampingan bersama-sama hibah yang diberikan.

Bagi hibah jenis ‘umra, pemberian semasa tempoh hayat penerima faedah hibah dengan syarat harta tersebut dipulangkan kepada pemberi hibah selepas kematian penerima hibah. Sementara itu, hibah jenis ruqba pula bermaksud hibah dengan syarat apabila berlaku kematian salah seorang daripada pemberi atau penerima hibah, yang hidup akan memiliki harta tersebut.

  1. Hibah amanah

Hibah amanah merupakan gabungan hibah dan amanah di mana ia menggunakan khidmat pemegang amanah. Pemegang Amanah ini akan dilantik dan diberi kuasa untuk mengawasi harta atau aset yang terdiri daripada orang perseorangan atau badan berkanun atau institusi sehinggalah penghibah ingin menyerah pemilikan harta atau meninggal dunia.

Secara mudahnya, hibah ini merupakan hibah yang tertangguh di mana hibah ini akan dilaksanakan dan berkuatkuasa apabila pemilik hibah telah meninggal dunia. Kebaikan hibah jenis ini ialah ia dapat memelihara kebajikan pemberi hibah kerana harta yang dihibahkan masih lagi boleh dinikmati oleh pihak pemberi hibah.

Prosedur untuk hibah rumah atau tanah pusaka

Langkah 1: Sempurna rukun hibah

Hibah tidak akan sah dan terlaksana selagi ia tidak memenuhi rukun hibah. Rukun hibah terdiri daripada empat perkara iaitu:

  • Pemberi hibah (Al Wahib)

Pemberi hibah perlu merupakan pemilik yang sah kepada barangan yang dimiliki. Beliau juga perlu mempunyai kelayakan untuk memberikan hibah dan mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya. Disebabkan pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

  • Penerima hibah

Penerima hibah layak menerima hibah termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang tak sempurna akal atau OKU. Bagi golongan ini, penjaga atau pemegang amanah boleh dilantik bagi pihak mereka. Penerima hibah wujud ketika hibah dibuat dan boleh menguasai harta yang dihibahkan.

  • Barang yang dihibah

Barang atau harta yang dihibah turut mempunyai beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Antara syarat yang utama ialah barang atau harta tersebut perlulah halal dan mempunyai nilai di sisi syarak. Barang tersebut juga perlu merupakan hak pembeli yang sah.

Bagi barang atau harta yang masih dalam cagaran seperti rumah atau tanah yang masih dalam pinjaman, tiada masalah untuk harta atau tanah itu dihibahkan selagi ia mendapat keizinan daripada pihak peminjam. Kebiasaannya setiap rumah yang ingin dihibahkan mestilah dilindungi dengan Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT)/ Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) secara penuh. MRTT adalah jaminan kepada pihak bank sekiranya berlaku apa-apa kepada kita, hutang rumah tersebut akan diselesaikan.

  • Sighah (Ijab dan Qabul)

Rukun keempat merupakan iaitu Ijab dan Qabul merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah iaitu dengan bahasa mudahnya dengan mewujudkan suatu kontrak. Ia merupakan rujukan penting secara hitam putih dan perlu disahkan.

Langkah 2: Memahami carta alir proses hibah akan dilakukan

Bagi mendapatkan secara tepat bagaimana proses hibah dilakukan di setiap negeri, anda boleh membuat rujukan kembali di Majlis Agama Islam di negeri anda. Dalam perkongsian artikel kali ini, kami akan kongsikan secara umum bagaimana prosedur untuk hibah akan dijalankan secara umum.

Rujukan: Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS)

Langkah 3: Penghibah isi borang permohonan hibah dengan lengkap

Walaupun perkara ini nampak remeh, ia sebenarnya merupakan salah satu perkara yang sangat penting dalam proses ini. Dokumen perlu disediakan dengan lengkap dan jelas bagi memudahkan anda maju ke proses seterusnya. Secara umum, berikut merupakan antara senarai dokumen penting yang perlu disediakan bagi proses hibah ini.

  • 1 Salinan Kad Pengenalan Penghibah
  • Salinan Kad Pengenalan Penerima Hibah
  • 1 Salinan Kad Pengenalan Saksi-Saksi
  • 1 Salinan Bagi Setiap Maklumat Harta :-

i. Geran Rumah

ii. Geran Tanah

iii. Geran Kenderaan iv. Lain-Lain

Sekiranya tanah/rumah tidak boleh dipindahmilik (sekatan) bagi tujuan proses kebenaran pindahmilik perlu dilampirkan:

i. Geran Asal Tanah, Rumah Dll

ii. Carian Rasmi x

iii. 1 Salinan Cukai Tanah Semasa

iv. 1 Salinan Cukai Pintu Semasa

v. 1 Salinan Surat Beranak (Hibah Kepada Anak)

vi. 1 Salinan Sijil Nikah (Hibah Kepada Isteri/Suami)

  • Salinan Perjanjian Hibah

Jika rumah yang dimiliki masih lagi di bawah pinjaman, sertakan juga dokumen seperti berikut:

  • Dokumen SNP atau Perjanjian Jual dan Beli (semua muka surat)
  • Dokumen Takaful/Insurans MRTA/MRTT
  • Dokumen Loan Letter Offer (jika ada)

Jika proses hibah ingin dilakukan di Majlis Agama Islam Negeri Selangor, anda boleh dapatkan borang permohonannya di sini.

Langkah 4: Pegawai terima borang yang lengkap berserta dengan yuran permohonan

Apabila borang permohonan sudah diterima dengan lengkap, anda perlu mengeluarkan sedikit kos bagi hibah rumah atau harta anda. Sebenarnya, kos bagi proses hibah rumah atau tanah pusaka ini berbeza mengikut syarikat atau institusi yang dipilih.

Dapatkan anggaran terlebih dahulu, jumlah kos hibah rumah atau tanah pusaka dan yuran permohonan yang dikenakan oleh mereka. Ini memudahkan anda menilai terlebih dahulu kos yang perlu dikeluarkan serta membuat perbandingan pilhan pakej yang terbaik.

Jika anda menggunakan perkhidmatan MAIS, kos hibah yang perlu dikeluarkan ialah:

  • Yuran penyediaan dan penyimpanan dokumen perisytiharan hibah adalah RM 300 bagi seorang penghibah dan setiap satu daripada harta yang dihibahkan.
  • Yuran pelaksanaan hibah adalah 1% dari nilai harta yang dihibahkan. Kos ini tidak termasuk disbursement, bayaran wajib kepada agensi dan kos Mahkamah (sekiranya berkaitan).

Langkah 5: Daftar ke dalam Rekod Daftar Hibah

Langkah 6: Sediakan draf dokumen pengisytiharan hibah

  • Pihak pemberi hibah perlu merancang dengan teliti butiran yang ingin dikemukakan dan syarat pemberian hibah jika ada

Langkah 7: Semak draf dokumen pengisytiharan hibah

Langkah 8: Temujanji pemberi hibah dan juga penerima hibah untuk tandatangan dokumen

  • Proses ini perlu dilakukan bagi menerangkan dengan jelas isi dokumen yang akan ditandangani dan mendapat persetujuan daripada kedua pihak.

Langkah 9: Membuat pengesahan dokumen pengisytiharan hibah di LHDN

Bagi memastikan perjanjian yang ditandatangani oleh kedua pihak sah dari segi undang-undang.

Langkah 10: Melaksana hibah melalui pindahmilik di PTG (sekiranya berkaitan)

Langkah 11: Pendaftaran pindahmilik (sekiranya berkaitan)

Langkah 12: Mengesahkan hibah di Mahkamah Syariah (sekiranya berkaitan)

Sekiranya perlu, permohonan pengesahan hibah boleh dilakukan oleh penerima hibah, atau warisnya atau mana-mana pihak yang dolantik berkaitan hibah tersebut

Langkah 13: Serah Dokumen Pengisytiharan Hibah kepada penghibah

Langkah 14: Simpan satu Dokumen Pengisytiharan Hibah di dalam almari besi berkunci

Langkah 15: Terima permohonan pembatalan (sekiranya berkaitan)

Sebenarnya, hibah merupakan suatu konsep yang sangat menarik untuk dijadikan sebagai salah satu pilihan alternatif kepada perancangan harta anda. Jangan jadikan proses dan langkah perundangan yang rumit sebagai salah satu kekangan untuk anda mnjalani proses hibah. Sebaliknya, gunakan khidmat syarikat atau organisasi yang sah serta diperakui bagi memudahkan proses hibah ini berjalan dengan efektif.

Semoga dengan artikel yang dikongsikan anda lebih memahami prosedur tentang hibah serta mengelakkan pertelingkahan dalam kalangan waris yang tidak sepatutnya berlaku. Kami doakan, semuanya akan berjalan dengan lancar buat anda semua.

Penafian: Sebarang maklumat yang terkandung di dalam artikel ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat atau nasihat berkenaan undang-undang. Artikel ini tidak bermaksud untuk memberikan apa-apa nasihat sama ada yang profesional, dari segi perundangan atau apa-apa nasihat yang lain berkenaan proses hibah ini. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *