fbpx

Pengurusan harta pusaka dan aturannya menurut Islam

PENGURUSAN harta pusaka dalam kalangan orang Islam merupakan suatu kaedah yang hendaklah difahami oleh semua pihak, khususnya umat Islam itu sendiri.

Semakin hari semakin kerap kita dengar pertelingkahan disebabkan oleh permasalahan pembahagian harta pusaka sehingga membawa kepada konflik perebutan harta, pertikaian yang berlanjutan dan memerlukan penyelesaian mahkamah serta dendam antara ahli keluarga.

Malahan yang lebih parah sekiranya melibatkan kes jenayah seperti ugutan, ancaman nyawa hatta pembunuhan.

Kenapa hal ini terjadi?

Jawapan mudah kepada permasalahan ini ialah kerana kurangnya pengetahuan dalam menguruskan harta pusaka dalam kalangan keluarga atau waris yang terlibat.

Kesannya, harta pusaka terpaksa dibekukan oleh pihak berwajib. Waris yang ditinggalkan sengsara kerana harta yang ditinggalkan tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan hidup generasi seterusnya.

Jenis-jenis harta

Harta secara umumnya dikategorikan kepada dua sifat yang berbeza, iaitu harta alih dan harta tak alih.

Harta alih

Harta alih ialah seperti kereta, motosikal, basikal, pinggan mangkuk, pakaian, peralatan mekanikal dan sebagainya yang bersifat boleh pindah pergerakannya secara fizikal. Manakala harta tak alih pula ialah aset tetap seperti tanah, bangunan dan harta fizikal yang bersifat kekal dan tidak boleh dipindahkan ke lokasi yang berbeza.

Pengetahuan tentang tertib pengurusan harta pusaka Islam penting bagi memastikan kelangsungan waris yang ditinggalkan dapat meneruskan kehidupan dengan harmoni dan mempunyai saraan ekonomi keluarga yang mencukupi.

Secara umum, harta pusaka bolehlah dinyatakan sebagai harta peninggalan si mati. Harta tersebut perlu diuruskan oleh waris yang masih hidup dengan tertib atau berdasarkan urutan yang sepatutnya. Pengurusan harta pusaka Islam bermula setelah berlakunya kematian dan selesainya proses pengebumian jenazah.

Tertib dan proses pengurusan

1. Pengasingan

Tertib pertama dalam pengurusan harta pusaka orang Islam ialah dengan melakukan pengasingan terhadap harta yang dimiliki atau yang diuruskan oleh si mati semasa hayatnya. Berkemungkinan tidak kesemua harta yang diuruskan oleh si mati adalah kepunyaan mutlak arwah.

Sebaliknya terdapat juga harta yang bukan milik mutlak si mati contohnya seperti harta amanah, harta yang telah dijual, harta wasiat, harta yang telah dihibahkan dan harta yang telah diwakafkan oleh si mati semasa hayatnya.

2. Hutang

Tertib kedua dalam menguruskan harta pusaka orang Islam ialah proses melunaskan hutang piutang yang ditinggalkan oleh si mati. Waris terdekat perlu mengambil tanggungjawab dalam mengenal pasti hutang yang telah dibuat oleh si mati semasa hayatnya dan melangsaikan hutang tersebut bagi pihak si mati.

Hutang yang dimaksudkan dibahagikan kepada dua kategori iaitu hutang dunia dan hutang akhirat. Hutang yang melibatkan orang perseorangan, syarikat atau pihak kerajaan dianggap sebagai hutang dunia yang perlu diselesaikan.

Manakala hutang akhirat pula seperti perlaksanaan ibadah haji yang masih belum dilaksanakan oleh si mati semasa hayatnya sedangkan si mati berkemampuan. Pelunasan hutang boleh dibuat dengan menggunakan harta peninggalan si mati.

3. Pembahagian harta sepencarian

Tertib ketiga ialah pembahagian harta sepencarian. Harta sepencarian ialah harta yang dimiliki dan diusahakan secara bersama oleh si mati dan pasangan semasa hayatnya. Sekiranya pasangan si mati (sama ada suami atau isteri) tidak bekerja atau tidak mempunyai punca pendapatan yang tetap, pasangan yang hidup juga berhak menuntut harta sepencarian.

Contohnya isteri yang tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa serta tidak mempunyai punca pendapatan sendiri adalah berhak menuntut harta sepencarian yang ditinggalkan oleh pasangannya yang meninggal dunia.

Hal ini kerana, pada hakikatnya isteri sebenarnya merupakan individu yang penting dalam membantu suami meringankan beban pengurusan keluarga demi memastikan arwah suami dapat mencari rezeki yang halal. Oleh itu, isteri yang ditinggalkan juga berhak memiliki harta sepencarian yang diusahakan oleh suami semasa tempoh hayat perkahwinannya berlangsung.

4. Pelaksanaan wasiat

Tertib keempat dalam pengurusan harta pusaka Islam ialah dengan melaksanakan wasiat yang dibuat oleh si mati semasa hayatnya. Wasiat merupakan pesanan ataupun hasrat si mati yang dibuat semasa hayatnya. Namun begitu perlaksanaan wasiat hanya boleh direalisasikan setelah pewasiat (si mati) meninggal dunia.

Harta yang ditinggalkan oleh si mati boleh diuruskan secara perlaksanaan wasiat asalkan tidak melebihi 1/3 daripada jumlah harta yang ditinggalkan. Wasiat boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak mendapat harta pusaka peninggalannya.

Wasiat perlu dibuat secara bertulis dengan pihak yang menyediakan perkhidmatan wasiat seperti AmanahRaya dan agensi-agensi wasiat yang diiktiraf oleh pihak berkuasa. Wasiat boleh diubah isi kandungannya seberapa mahu yang dikehendaki oleh pewasiat semasa hayatnya. Penulisan wasiat adalah suatu yang digalakkan dalam Islam.

5. Pelaksanaan Faraid

Tertib kelima dan terakhir dalam pengurusan harta pusaka Islam ialah melaksanakan faraid ke atas harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati kepada waris yang berhak. Faraid ialah bahagian yang ditetapkan oleh syarak kepada pewaris.

Terdapat pelbagai kategori waris. Antaranya waris utama, waris gantian, waris sisian pertama dan waris sisian kedua. Dalam perbincangan kali ini, cukuplah sekadar pemahaman terhadap waris utama dahulu.

Waris utama yang berhak dalam pembahagian harta faraid terdiri daripada individu yang paling rapat dengan si mati iaitu ayah, ibu, pasangan (suami atau isteri), anak lelaki dan anak perempuan. Namun begitu, terdapat juga hak waris-waris lain yang terlibat sekiranya waris utama telah tiada.

Hak

Setiap daripada waris utama ini mempunyai hak dan kadar masing-masing dalam pembahagian harta faraid. Contoh mudah ialah bapa memperoleh hak sebanyak 1/6 daripada harta faraid tersebut. Ibu berhak sebanyak 1/3 (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/6 (sekiranya si mati mempunyai anak). Manakala pasangannya iaitu suami berhak sebanyak ½ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan ¼ (sekiranya si mati mempunyai anak.

Begitu juga dengan isteri, hak isteri ialah sebanyak ¼ (sekiranya si mati tidak mempunyai anak) dan 1/8 (sekiranya pasangan mempunyai anak). Manakala hak anak perempuan pula ialah ½ (sekiranya si mati hanya mempunyai seorang anak perempuan sahaja), 2/3 hak (sekiranya si mati ada lebih daripada seorang anak perempuan dan dibahagikan sama rata di antara mereka).

Namun begitu, hak anak perempuan juga tertakluk kepada kategori asobah Bil ghari iaitu sekiranya anak perempuan tersebut mempunyai adik beradik lelaki maka pembahagian perlu dilakukan dengan kadar sebanyak 2 bahagian bagi lelaki dan 1 bahagian bagi perempuan. Sebaliknya anak lelaki akan mengambil seluruh harta jika tiada waris fardu (waris yang telah ditentukan haknya).

Kesimpulan

Kesimpulannya, tertib dalam pengurusan harta pusaka Islam bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Sesungguhnya, memahami kaedah pembahagian harta dalam Islam amatlah penting dan dititik beratkan malahan perlaksanaannya adalah berdasarkan ketetapan yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.

Di samping itu, kepentingan memahami dan mengetahui tertib pengurusan harta pusaka Islam adalah demi menjaga objektif maqasid syariah dalam mempertahankan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan waris yang masih hidup di samping mengimarahkan harmonisasi dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Sumber- Sinar Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *