fbpx

Panduan Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Faraid

Bagi mereka yang beragama islam, istilah pembahagian harta pusaka mengikut faraid sering dibincangkan. Namun, adakah kita benar-benar memahami konsep faraid dan harta pusaka ini ini dengan jelas? Jangan bimbang, dalam artikel ini kami akan terangkan lebih lanjut mengenai konsep ini supaya ia lebih senang untuk difahami serta dipraktikkan oleh anda semua.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, anda perlu memahami definisi bagi setiap konsep ini. Harta pusaka secara ringkasnya membawa maksud segala harta benda, hak, dan apa jua hak milk yang menjadi kepunyaan si mati semasa hidup yang ditinggalkan untuk diwariskan kepada waris-warisnya. Seterusnya, faraid pula secara mudahnya kaedah pembahagian harta pusaka oleh agama Islam. Oleh itu, pembahagian harta pusaka mengikut faraid ini merupakan kaedah pembahagian harta yang ditinggalkan oleh si mati dengan mengikut kaedah pembahagian harta pusaka agama islam.

Rukun harta pusaka

Perlu diingatkan, pembahagian harta pusaka ini hanya akan berjalan sekiranya lengkap tiga rukun pusaka iaitu:

  1. Si mati iaitu orang yang meninggalkan harta untuk diwarisi selepas kematiannya. Tanpa kematian, tiada sebarang perbincangan berkenaan dengan harta pusaka. Walaupun sedang sakit tenat, koma, atau tidak sedarkan diri, haram untuk membincangkan tentang pembahagian harta pusaka ini
  1. Harta iaitu apa-apa kepunyaan si mati yang layak dikategorikan sebagai harta pusaka. Walaupun begitu, tidak semua harta akan dikira sebagai harta pusaka. Terdapat beberapa jenis harta yang dikategorikan sebagai harta bukan pusaka iaitu:
  • Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
  • Imbuhan, pampasan dan sagu hati
  • Pencen terbitan
  • Harta yang telah dijual, diwakaf, dihibah atau dipegang amanah
  • Khairat kematian
  • Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO)

Harta yang dikategorikan di bawah kategori harta pusaka ini hanya akan dibahagikan kepada waris yang layak mengikut hukum syarak setelah menguruskan jenazah, menyelesaikan hutang si mati dengan manusia (sekiranya ada) hutang dengan Allah (zakat, haji, fidyah dan kaffarah) serta dilaksanakan wasiatnya (jika ada).

  1. Waris iaitu orang yang layak menerima bahagiannya daripada harta pusaka ini.

Bagi menentukan siapa yang berhak dalam pembahagian harta pusaka ini, terdapat tiga sebab yang melayakkan waris itu menerima pembahagian dalam harta pusaka iaitu

  • Beragama islam.
  • Keturunan yang dimaksudkan ialah pertalian darah atau hubungan kekeluargaan disebabkan oleh peranakan. Oleh itu, anak angkat, anak tiri dan anak susuan tidak boleh mewarisi harta pusaka
  • Perkahwinan. Perkahwinan yang dijalankan haruslah sah di sisi hukum syarak dan tiada unsur keraguan.

Berikut merupakan gambarajah berkaitan waris lelaki dan perempuan yang layak mewarisi harta pusaka:

Sumber jadual: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Halangan menerima harta pusaka

Tahukah anda, terdapat beberapa keadaan di mana waris itu hilang kelayakan dan akan dihalang daripada menerima harta pusaka. Keadaan tersebut ialah:

  1. Membunuh. Jika seseorang itu membunuh, ia tidak akan dapat mewarisi harta orang yang dibunuh. Walau bagaimanapun, keputusan ini akan diputuskan oleh Mahkamah Syariah setelah mendengar hujah pihak yang menuntutkan berdasarkan keadaan dan situasi yang berlaku.
  2. Berlainan agama
  3. Murtad

Cara pembahagian harta pusaka mengikut faraid

Pembahagian harta pusaka faraid

Rajah pembahagian faraid secara umum. Sumber: MyGovernment

Mengikut hukum faraid, waris-waris akan menerima pembahagian harta pusaka dengan dua cara iaitu:

  • Menerima pusaka secara fardu. Menerima harta pusaka secara fardu bermaksud bahagian harta yang diterima ialah mengikut bahagian yang telah ditentukan oleh hukum faraid.
  • Menerima pusaka secara asabah. Bahagian waris tidak ditentukan oleh mana-mana kaedah hukum faraid tetapi bergantung kepada kedudukan waris yang ditinggalkan oleh si mati.

Jika anda ingin tahu lebih lanjut dan gambaran menyeluruh bagaimana proses faraid, ilmu mengenai hukum faraid dengan lebih teliti boleh didapatkan di laman web k-Faraid. Apa yang menarik lagi, terdapat kemudahan simulasi bagi kaedah pengiraan faraid untuk dijadikan contoh bagi kefahaman awam.

Setelah kita mengetahui cara ringkas bagaimana pembahagian harta pusaka mengikut faraid dilakukan, bagaimanakah cara pengurusan faraid perlu dilakukan? Setelah berlaku kematian, tindakan segera perlu dilakukan bagi menguruskan harta pusaka ini. Perkara ini perlu disegerakan kerana untuk membantu kelangsungan hidup waris si mati terutamanya jika ada anak-anak kecil.

Dapatkan Perintah Faraid iaitu suatu akuan rasmi yang mengandungi maklumat tentang nilaian harta pusaka si mati dan waris-waris berhak yang beragama Islam serta bahagian-bahagian yang berhak mereka peroleh ke atas harta pusaka. Perintah ini akan dikeluarkan selepas dibuat pengiraan faraid yang telah disahkan dan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah melalui kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Secara umumnya, proses yang akan berlaku adalah seperti berikut:

  1. Mengemukakan permohonan.
  2. Terima permohonan.
  3. Semak.
  4. Jika lengkap terima dan daftar.
  5. Siasatan waris dijalankan pada hari pendaftaran atau pada hari lain yang ditetapkan.
  6. Apabila siasatan selesai, pengiraan dibuat.
  7. Dapatkan sijil dalam masa 5 hari selepas siasatan ahli waris selesai.
  8. Pemberitahuan akan diberi tahu pada hari siasatan selesai.

Walaubagaimanapun, sila rujuk Majlis Agama Islam negeri masing-masing bagi maklumat lanjut serta prosedur yang perlu dilakukan.

Isu pembahagian harta pusaka bukan topik yang asing lagi yang boleh menyebabkan pertelingkahan dalam kalangan ahli keluarga. Dengan melakukan pengurusan pembahagian harta pusaka mengikut faraid dengan saluran yang betul, pelbagai perkara yang tidak diingini seperti penipuan atau penyembunyian waris yang berhak, penganiayaan hak waris, manipulasi sesama anggota waris dapat dielakkan sama sekali. Semoga artikel yang dikongsikan ini mampu memberi manfaat dan lebih kefahaman berkenaan isu pembahagian harta pusaka mengikut faraid ini.

Penafian: Sebarang maklumat yang terkandung di dalam artikel ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat atau nasihat berkenaan undang-undang. Artikel ini tidak bermaksud untuk memberikan apa-apa nasihat sama ada yang profesional, dari segi perundangan atau apa-apa nasihat yang lain berkenaan proses pembahagian harta pusaka mengikut faraid ini. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan pengurus harta pusaka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *