fbpx
Pengurusan Harta Pusaka

Panduan Mudah & Lengkap Untuk Menguruskan Harta Pusaka

Melihat kepada isu pembekuan harta pusaka anggaran sebanyak RM70 billion di negara kita sejak merdeka sehingga hari ini, menghendaki agar umat Islam melakukan transformasi minda dan mengambil serius soal pengurusan harta ketika hidup.

Ini kerana masih ada yang menganggap bahawa perancangan harta sudah memadai dengan mengurus membuat takaful, kad perubatan, simpanan pendidikan anak, dan simpanan persaraan dengan anggapan kelak harta tersebut akan diagihkan mengikut faraid.

Sekiranya ia tidak dapat ditadbir dengan teratur selepas pemergian kita, kontroversi bakal tercetus dan membelenggu pengurusan di pentadbiran harta umat Islam seMalaysia. 

Perancangan pengurusan harta dalam Islam merangkumi dua aspek iaitu perancangan harta ketika hidup (hibah, wasiat, wakaf, sedekah dan nazar) dan pembahagian harta selepas kematian pemilik harta (pembahagian harta mengikut wasiat, faraid). 

Pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyah, bandar-bandar di Turki telah dibangunkan melalui dana dari institusi wakaf. Mengambil contoh ini, diharapkan kejayaan pengurusan harta pusaka dapat membantu individu melunaskan hutang, pengagihan harta yang efisien serta bermanfaat untuk Malaysia dalam mengukuhkan ekonomi di era globalisasi ini. (Mohd. Dani & Baharuddin, 2006).

Artikel ini berkongsi maklumat dengan anda mengenai perkara asas dalam merancang harta pusaka.

1. Kenal pasti harta, waris dan instrumen semasa penetapan matlamat merancang harta

Kita perlu mempunyai matlamat yang jelas setidak-tidaknya ingin melangsaikan semua hutang dan membantu waris (suami,isteri, ibu bapa dan anak-anak yang sah) agar mampu menyara hidup setelah pemergian kita. Kumpul setempat semua dokumen, geran, buku akaun dan lain-lain dan buatlah pengiraan kasar.

Produk atau instrumen bagi membantu perancangan harta alih (Akaun KWSP, Tabung Haji, Benefit Takaful, pencen, saham-saham, insurans) dan tak alih (tanah, bangunan) yang dibenarkan dalam Islam merangkumi wasiat, amanah, hibah, wakaf, sedekah, dan harta sepencarian.

2. Peranan Penama

Penama boleh mencairkan atau menerima harta alih tetapi ia perlu diagihkan mengikut faraid. Jika tiada penama, wasi perlu mendapatkan surat kuasa untuk mencairkannya.

Cuba kita semak siapakah nama penama bagi harta alih kita. Jika penama berumur dibawah 18 tahun semasa kematian pewasiat, waris perlu menunggu sehingga penama berumur 18 tahun untuk mencairkannya.

3. Kenal pasti hutang dan pemiutang

Kenal pasti hutang dengan individu dan pinjaman-pinjaman yang belum lunas pembayarannya. Bagi hutang seperti pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, ia bakal ditanggung oleh pihak takaful atau insurans. Amat penting untuk menyenaraikan nama individu yang anda berhutang kepada wasi.

4. Peranan wasi dalam pelaksanaan faraid

Wasi adalah pentadbir yang dilantik di dalam wasiat untuk mentadbir harta peninggalan si mati seperti waris, bukan waris, peguam, atau syarikat amanah. 

Wasi akan melaksanakan kerja-kerja semasa proses pentadbiran (mengumpulkan maklumat, mendaftar harta dan waris-waris, memohon surat kuasa, mencairkan harta) dan proses pengagihan (pembahagian harta mengikut wasiat atau faraid). Bererti, faraid hanya melibatkan aspek pengagihan. Tanpa wasi, pengurusan harta pusaka akan tergendala. 

5. Melantik wasi

Anda boleh melantik wasi daripada syarikat amanah atau individu. Institusi pengurusan harta dan syarikat amanah di bawah sektor kerajaan adalah Amanah Raya Berhad manakala sektor swasta pula seperti Assalihin Trustee Berhad, AmTrustee, UBB Trustee, Awfar Consultancy, Wasiyyah Shoppe Bhd, Hans Legasi Resources Sdn Bhd, ASCO Syariah dan lain-lain. 

Kelebihan melantik wasi dari institusi pengurusan harta pusaka

Antara kelebihan melantik wasi dari syarikat amanah adalah:

  1. Syarikat amanah tidak boleh menutup operasi kerana mematuhi unsur  kesinambungan perkhidmatan.
  2. Syarikat amanah mempunyai tenaga kerja terlatih dan cekap.
  3. Tugas wasi sebagai orang tengah dalam perbincangan keluarga lebih mudah kerana bukan ahli keluarga.

Kelebihan melantik wasi individu

Pelantikan wasi individu disarankan hanya bagi anda yang mahu menguruskan harta pusaka kecil sahaja memandangkan urusan pentadbiran tidak memerlukan peguam dan boleh dilakukan sendiri di Pejabat Pusaka Kecil. Hanya memerlukan modal sebanyak RM 22 dan borang A sahaja. Penghulu  juga membantu memberikan khidmat nasihat, dan bantuan mengisi borang permohonan. 

Walaupun risikonya adalah wasi individu yang dilantik itu meninggal dunia, kita sentiasa boleh kemaskini nama individu yang ingin dilantik.

6. Apa itu wasiat?

Wasiat terbahagi kepada dua iaitu, pesanan dan arahan. Wasiat pesanan contohnya pemilik berpesan supaya waris bertolak ansur sesama keluarga, menjaga solat dan sebagainya.

Manakala wasiat arahan pula merangkumi pelantikan wasi, amanah, hibah, wakaf, sedekah dan harta sepencarian. 

Pengurusan harta pusaka

7. Kelebihan membuat wasiat

Dengan Geran Probet sebagai surat kuasa, proses pentadbiran menjadi lebih mudah kerana kita telah melantik wasi atau pemegang amanah mengikut wasiat yang sah tanpa perlu persetujuan waris. 

Manakala pentadbiran tanpa wasiat pula memerlukan wasi dan surat kuasa LA sama ada dari institusi Amanah Raya, Pejabat Pusaka Kecil, atau Mahkamah Tinggi Sivil. 

Waris sendiri yang perlu bersepakat menentukan wasi yang mampu dan dipercayai untuk mentadbir. Jika wasi tersebut sibuk dengan urusan lain, masa berlalu dan cukai semakin meningkat lalu urusan menjadi semakin rumit. Risikonya adalah kita menanggung hutang yang gagal diselesaikan.

Bagi anda yang memiliki nilai harta lebih daripada RM2 juta, anda dinasihatkan untuk membuat wasiat. Ini kerana, dua orang penjamin diperlukan dan setiap penjamin perlu mempunyai aset bersamaan nilai kasar harta pusaka anda sebagai syarat tambahan.

8. Melantik penjaga anak

Pewasiat perlu melantik dua atau tiga  penjaga bagi anak, kerana jika berlaku kematian serentak, tanggungjawab menjaga adalah pada datuk sebelah ayah anak sekiranya umur anak tersebut di bawah 18 tahun. 

Kita boleh menulis wasiat mengikut keperluan kita tetapi seandainya waris tidak bersetuju, maka wasi perlu mengagihkan harta tersebut mengikut faraid. 

9. Kos pengurusan pusaka

Bagi mengelakkan masalah pembayaran kos pengurusan harta pusaka yang tinggi, kita perlu bertanya kepada syarikat amanah berkenaan berkaitan fi pengurusan. Kos tersebut adalah berdasarkan nilai harta pusaka semasa. 

Terdapat syarikat amanah yang mengenakan caj antara 1% hingga 4 % dari nilai harta pusaka, malah boleh mencecah sehingga 5% tidak termasuk fi buka fail dan fi rampaian yang lain.

Mari kita lihat satu contoh kes.

Arwah Mak Siti memiliki sebuah rumah bernilai RM500K dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Fi pengurusan harta pusaka di syarikat amanah termasuk:

  • Fi buka fail: Kira2 RM500 ke RM2000
  • Fi profesional: 2% dari nilai semasa harta pusaka
  • Fi rampaian: kos-kos pergerakan (minyak petrol, tol, penilaian hartanah, surat kuasa mentadbir dan lain-lain)

Anggaran kos pusaka Arwah Mak Siti ialah:

  • Fi buka fail: RM500
  • Fi profesional: RM10,000
  • Fi rampaian: RM5,000
  • Jumlah: RM15,500

*kos ini hanyalah anggaran.

Kos keseluruhan ialah RM15,500. Dalam akaun Mak Siti hanya berbaki RM5000 sahaja. Baki RM10,500 itu perlu ditanggung oleh warisnya. 

Waris boleh menggunakan manfaat khairat kematian antaranya dari PERKESO KWSP, masjid dan lain-lain sekiranya ada bagi mencukupkan jumlah pembayaran fi berkenaan.

10. Instrumen selain wasiat

Jika kita berhasrat memberi bukan waris faraid lebih daripada 1/3 harta pusaka, atau keinginan memberi yang lain, kita boleh menggunakan instrumen lain seperti deklarasi hibah, amanah, harta sepencarian, wakaf, dan sedekah.

11. Deklarasi hibah

Dari sudut bahasa, hibah adalah hadiah yang diberi oleh penghibah kepada penerima secara percuma tanpa mengharapkan balasan. Harta hibah dapat dicairkan dalam tempoh 14 hingga 45 hari sahaja tanpa difaraidkan.

Terdapat dua kategori hibah, iaitu hibah mutlak dan hibah bersyarat. Hibah rumah boleh dibuat sekalipun rumah anda belum habis dibayar atau atas cagaran. Tetapi harus diingat, hibah mutlak adalah apabila penukaran hak milik selesai, ia akan terus menjadi hak penerima.

12. Wakaf      

Wakaf adalah penyerahan hak milik harta atau kepakaran untuk dimanfaatkan kepada orang lain dalam jangka masa yang panjang. Ia adalah pemberian yang tidak boleh dibatalkan.

Dalam konteks perancangan harta pusaka, bangunan, kenderaan, saham, emas dan lain-lain boleh diwakafkan. Sekiranya kita ingin mewakafkan lebih daripada ⅓ harta pusaka, tiada masalah selagi mendapat persetujuan waris.

Penutup

Selepas ini bolehlah anda mula meninjau mana-mana institusi/syarikat amanah, atau bank. Artikel ini bukan panduan cuma memberikan sedikit maklumat asas dan kesedaran untuk merancang harta pusaka.

Pentingnya untuk kita fahami keperluan kita dan buatlah perancangan besesuaian dengan matlamat dan kemampuan kita kerana kitalah pemilik harta tersebut. Rajinkanlah diri untuk menambah ilmu dan bertanya kepada pihak yang bertauliah untuk mendapatkan kefahaman.

Awfar Consultancy menawarkan khidmat nasihat percuma melalui telefon dan online meeting untuk rundingan dan soal jawab. Kami juga mempunyai kepakaran dalam dokumentasi wasiat, hibah, wakaf dan lain-lain.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *