fbpx

Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Membuat Wasiat?

Anda mungkin sering mendengar tentang istilah wasiat dalam islam. Wasiat sebenarnya merupakan salah satu instrumen dalam pembahagian harta mengikut islam. Jika anda berminat untuk membuat wasiat sebagai salah satu alternatif dalam membahagikan harta pusaka secara adil kepada orang yang anda kehendaki, baca artikel ini untuk mempelajari apa yang anda perlu tahu sebelum membuat wasiat.

Panduan Buat Wasiat

Sumber: Unsplash

Secara mudahnya, wasiat merupakan ikrar atau pengakuan seseorang untuk menyempurnakan pengagihan harta selepas kematian kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka.

Konsep wasiat

Rukun wasiat

Terdapat empat rukun dalam wasiat iaitu:

  1. Pewasiat (Wasi)
  • Pewasiat perlu berumur 18 tahun dan tidak dihalang untuk menguruskan hartanya. Beliau perlu sempurna akalnya dan boleh bertindak dengan sukarela tanpa sebarang paksaan
  1. Penerima wasiat (benefisiari)
  • Penerima wasiat perlu mempunyai kelayakan dan mampu mengurus wasiat yang diberikan menurut mana-mana undang bertulis. Selain itu, penerima wasiat juga perlu layak menerima wasiat dari segi hukum syarak serta diketahui dengan jelas.
  1. Harta yang diwasiat
  • Sesuatu yang wujud dalam milikan pewasiat, jika ditentukan atau wujud semasa kematian pewasiat, jika tidak ditentukan; dan
  • Sesuatu yang harus dan bukan sesuatu yang haram atau maksiat.
  • Sesuatu yang boleh dijadikan harta pusaka atau boleh dijual beli semasa hidup pewasiat;
  • Sesuatu yang bernilai dan boleh dipindahmilikkan selepas kematian pewasiat
  1. Sighah (lafaz wasiat)

Kadar bayaran wasiat

Kadar bayaran wasiat adalah sebanyak satu pertiga ( ⅓ ) daripada harta yang dimiliki, manakala dua pertiga (⅔) akan dibahagikan mengikut kaedah faraid. Kadar kiraan ini hanya dikira selepas Walaupun begitu, kadar ini boleh berubah mengikut persetujuan daripada semua ahli-ahli waris.

Sebenarnya, salah satu hikmat wasiat ini disyaratkan sebanyak satu pertiga daripada harta sahaja ialah bagi memelihara hak lain bagi waris-waris yang berhak ke atas harta tersebut.

Hukum wasiat

Hukum wasiat sebenarnya sunat, namun ia boleh berubah dan bergantung kepada sesuatu situasi.

Wajib

  • Wasiat yang dijalankan boleh menjadi wajib sekiranya perkara yang diwasiatkan merupakan hak dengan ALLAH, seperti menunaikan haji dan zakat. Selain itu, hutang dengan manusia yang juga perlu dilangsaikan dan dijalankan.

Haram

  • Wasiat juga boleh bertukar menjadi hukumnya haram sekiranya melanggar hukum Allah atau bertujuan untuk memudaratkan keadaan ahli waris

Makruh

  • pewasiat seorang yang miskin dan kurang berharta dan mempunyai waris-waris yang ramai serta memerlukan harta
  • Mewasiatkan kepada waris yang dalam golongan fasik iaitu selalu melakukan dosa kerana dikhuatiri akan digunakan dan cenderung ke arah maksiat

Sunat

  • berwasiat untuk kaum kerabat yang memerlukan sedangkan mereka tidak berhak mendapat harta pusaka. Begitu juga berwasiat kepada orang miskin dan untuk tujuan kebajikan pada jalan Allah.

Siapa yang patut diberi wasiat

Mengikut Majlis Agama Islam Negeri Selangor, terdapat beberapa golongan yang patut diberi wasiat iaitu

  • Keluarga yang miskin
  • Anak yatim
  • Anak angkat
  • Anak susuan
  • Masjid atau surau
  • Badan kebajikan

Walaupun anak angkat tidak layak menerima pembahagian harta pusaka melalui faraid, keindahan agama Islam turut membenarkan wasiat sebagai salah satu instrumen sebagai pembahagian harta pusaka yang sah dan diredhai turut membenarkan golongan ini menerima bahagiannya yang ingin diberi oleh si pewasiat.

Salah faham tentang konsep wasiat

Bagi memastikan anda benar-memahami tentang wasiat yang ingin dibuat, adalah elok jika beberapa salah faham tentang wasiat oleh masyarakat diperbetulkan dan difahami supaya memudahkan anda melakukan proses yang betul sebelum membuat wasiat.

  1. Wasiat cukup hanya dengan menyuarakannya secara lisan

Apabila wasiat hanya dilakukan secara lisan, tanpa sebarang dokumentasi, keadaan ini menjadi sebarang rumit terutamanya jika terdapat keraguan daripada ahli waris yang lain. Oleh itu, sebarang wasiat yang dilakukan sangat penting untuk dilakukan dengan proses dokumentasi yang sah bagi memastikan ahli waris yang anda kehendaki, menerima bahagian yang sepatutnya.

  1. Semua harta boleh diwasiatkan

Perlu diingatkan, tidak semua harta boleh diwasiatkan sewennag-wenangnya. Keadaan ini berbeza dengan orang bukan islam kerana mereka boleh mewasiatkan (will) segala hartanya. Wasiat bagi mereka yang beragama islam tertakluk kepada satu pertiga harta sahaja dan tidak sah jika melebihi daripada jumlah itu kecuali mendapat keizinan atau kebenaran daripada ahli waris yang ada.

  1. Wasiat tidak wajib diikuti

Wasiat tidak wajib diikuti sekiranya harta yang diberikan kepada waris. Ini kerana, dari segi hukum, wasiat tidak harus kepada waris. Sekiranya waris lain tidak bersetuju dengan wasiat yang dibuat, hukum pembahagian pusaka secara faraid akan kembali digunakan.

Walaubagaimanapun, sekiranya wasiat ini ditujukan kepada orang yang bukan waris seperti anak angkat, jiran, kawan sekerja dan seumpamanya, maka wasiat tersebut wajib dilaksanakan.

  1. Wasiat tidak boleh diubah

Wasiat sebenarnya boleh diubah kerana ia hanyalah pesanan sahaja dan terimaan (qabul) hanya berlaku selepas pewasiat meninggal dunia. Oleh itu, selagi si pewasiat masih hidup, beliau berhak untuk mengubah wasiatnya pada bila-bila masa sahaja.

Cara permohonan dan perlaksanaan wasiat

Bagi mengetahui cara memohon dan melaksanakan wasiat, anda boleh merujuk kepada majlis agama islam negeri masing-masing. Rujukan artikel ini menggunakan sistem permohonan dan perlaksanaan wasiat dari Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Apa yang menarik, mereka turut menawarkan perkhidmatan memohon wasiat secara atas talian!

Berikut merupakan carta alir bagaimana proses ini akan dilakukan secara umumnya:

  1. Melalui cara manual dengan mengisi borang permohonan

Sumber: Majlis Agama islam Negeri Selangor

  1. Permohonan secara atas talian melalui laman web www.wasiat.com.my

Sumber: Majlis Agama islam Negeri Selangor

  1. Cara wasiat dilaksanakan

Sumber: Majlis Agama islam Negeri Selangor

Segala maklumat yang dinyatakan merupakan perkara yang anda perlu tahu sebelum membuat wasiat. Perkara ini sangat penting untuk membantu anda bukan sahaja memahami wasiat yang akan dibuat, malah membuat keputusan yang sewajarnya bagi mereka yang benar-benar berhak. Kami ucapkan, semoga anda dipermudahkan urusan dan kesemuanya berjalan dengan lancar.

Penafian: Sebarang maklumat yang terkandung di dalam artikel ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat atau nasihat berkenaan undang-undang. Artikel ini tidak bermaksud untuk memberikan apa-apa nasihat sama ada yang profesional, dari segi perundangan atau apa-apa nasihat yang lain berkenaan proses wasiat ini. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan pengurus harta pusaka profesional.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *